Ahli Parlimen Young Syefura Buka Peluang Lawatan ke Parlimen untuk Warga Bentong
![]() |
| Foto diambil dari laman rasmi Young Syafura Othman |
Bentong, Malaysia| Metrowilis.com- Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, membuka peluang kepada orang ramai untuk berkunjung ke Parlimen Malaysia sempena sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh beliau menerusi hantaran di laman Rasmi, Facebook peribadinya pada Rabu, 17 Disember 2025, khusus ditujukan kepada warga Bentong.
Menurut Young Syefura, peluang lawatan itu terbuka kepada pelbagai pihak termasuk sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi serta institusi, bagi memberi pendedahan secara langsung mengenai perjalanan dan fungsi Parlimen.
“Saya membuka kesempatan kepada sekolah, LSM, organisasi dan institusi untuk mengadakan lawatan ke Parlimen bersempena sesi Dewan Rakyat akan datang. Keutamaan akan diberikan kepada warga Bentong,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan lawatan boleh dibuat dengan mengimbas kod QR yang disediakan dalam hantaran tersebut. Tarikh akhir penghantaran permohonan adalah pada 25 Disember 2025.
Inisiatif ini dilihat sebagai usaha untuk mendekatkan institusi Parlimen dengan rakyat serta meningkatkan kefahaman awam terhadap proses demokrasi dan perundangan negara.(red)
